24 March 2010
MIMPI MENEMUI KEBENARAN..SUBHANALLAH
Di bawah ini satu article yg amat mengharukan jiwa, salah seorang rakan saya yang juga ahli lembaga pengarah sekolah ilmi telah mengirimkannya kepada saya. Bila membacanya, terasa juga akan keindahan kisahnya, mungkin ia lebih berkesan lagi, kalau dipanjangkan kepada rakan-rakan melalui blog saya ini. Semoga penulis article dan juga teman yang terlibat dengan kisah ini, memberikan saya keizinan menerbitkannya.
Dgn Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani
YaAllah, lancar jari ini menaipkan sebuah pengalaman yg amat berharga dr seorang insan yg di pilih Allah utk berjumpa Nabi SallaLahu'alaihiwas allam melalui mimpi hari Khamis, 16 Rejab 1427 H bersamaan 10 August, 2006.
Nama yg dipilih oleh ayah beliau Syamimi yg bermaksud 'kesayanganku' , gelar Nabi pada puteri kesayangan Baginda, Fatimah. Ketika khilaf memilih nama itu, ayah beliau mengharapkan mudah-mudahan suatu hari nanti anaknya akan menjadi salah seorang mutiara kesayangan Rasulullah SallaLahu'alaihiwas allam. AlhamduliLlah, doanya makbul selepas 23 tahun kelahiran anak sulungnya daripada 8 adik-beradik.
AlhamduliLlah, Al-Quran 30 juzuk terpelihara kemas di dalam hatinya. Beliau menghabiskan masa 3 tahun utk habis menghafal 30 juzuk KalamuLlah ketika di negeri kelahirannya. Beliau hafal sendiri utk memenuhi harapan ibu ayah beliau yang mengharapkan ada di kalangan anak mereka menjadi seorang hafiz atau hafizah. Sebagai anak sulung, beliau mengambil tanggungjawab ini utk menjadi contoh kpd adik-adik, SubhanaLlah. Setiap hari beliau hafal 2 mukasurat Al-Quran dan tasmi' dgn ustaz di sebelah rumahnya di sana . Sekarang beliau pelajar tahun 4 jurusan Undang-Undang Syariah di universiti ana InsyaAllah.
Akak ni memang di uji dengan sakit yg tak tau apa punca sejak lebih setahun yg lalu. Sakitnya rasa seperti di tikam-tikam dengan pisau di bahagian belakang tubuhnya, tambahan pula kaki yang sudah sakit d bahagian lutut sejak 8 tahun lalu yg x pernah sembuh. Pernah satu ketika, selepas makan, beliau muntah bersama segumpal rambut dari kerongkongnya. Penderitaannya hanya Allah dan dia sendiri yang tau. Dh lama dia tak daya ke kelas sebab sakitnya membuatkan dia tak dapat berdiri atau berjalan. Hilang selera makannya hingga susut badannya hampir 13 kg. Beliau hanya menggagahkan diri untuk pergi berwudhu' 2 hingga 3 kali sehari. Wudhu' itu di jaga sebaik mungkin untuk ibadah sepanjang hari.
Hari-hari yang di laluinya beliau penuhi dgn membaca Al-Quran dan qiamullail sebagai pendinding daripada gangguan yg terus-terusan menyakitinya. Diceritakan makhluk-makhluk tu akan mengganggunya terutama waktu sebelum subuh, waktu zuhur dan waktu maghrib. Beliau dah banyak berubat di merata tempat, di negeri kelahirannya, berjumpa doktor-doktor pakar, dengan ulama' yg faqih dalam ilmu perubatan islam sendiri dan akhir sekali dengan sorang lecturer di sini tapi beliau hanya mampu bertahan. Ustaz pesan, setiap kali beliau sakit, banyakkan baca Surah Al-Baqarah.
Pagi khamis tu, beliau berniat utk hadir kuliyah sebab dah lama tak mampu ke kelas. Beliau bangun kira-kira jam 4.30 pagi utk solat. Berbekalkan sedikit kekuatan yg di gagahkan, beliau ke bilik air utk berwudhu' dgn memapah dinding dan apa yg mampu membantu beliau berdiri. Habis berwudhu', beliau jatuh tersungkur, rasa seperti ada yg menolak keras dari belakang. Masa tu beliau dh tak mampu berdiri, justeru beliau merangkak ke bilik. Sampai saja d bilik, beliau ketuk pintu dan rebah di bahagian depan bilik. Waktu tu, di sebabkan sakit yg mungkin dah tak tanggung, dengan spontan beliau niatkan, "Ya Allah, kiranya mati itu baik untukku, aku redha, tapi kiranya Engkau ingin aku terus hidup, aku ingin dengar kata-kata semangat drpd RasuluLlah SallaLlahu'alaihiwa sallam sendiri".
Kemudian beliau pengsan. Sahabat-sahabat sebilik mengangkat beliau ke dalam bilik dan di baringkan di sana . Waktu tu, sahabat-sahabat dah forward message pd kawan-kawan yg lain agar bacakan surah Yasin sbb beliau dah nampak nazak. Semua dah sedia dgn nombor-nombor ahli keluarga beliau utk di hubungi kiranya apa-apa berlaku dengan izin Allah. Kira-kira jam 11 pagi, beliau tidur dgn tenang dalam waktu qoilulah, dalam tidur beliau, beliau sedang terbaring dalam keadaan memakai telekung dgn tangannya di qiam seperti dalam solat di tempat asing yang sangat cantik. Beliau terbaring di sebelah mimbar dan kelihatan banyak tiang di sekitarnya.
Tiba-tiba datang seorang HambaAllah dgn wajah yang bercahaya dari arah depan dan berdiri hampir sekali, kira-kira 2 meter dari beliau. Wajahnya SubhanaLlah, indah sekali, tak dapat nak di gambarkan. Beliau tertanya-tanya, siapa orang ni, cantik sekali kejadiannya dan hati beliau rasa sangat tenang dgn hanya melihat wajahnya. Di rasakan seluruh kesengsaraan yg di tanggung selama ini lenyap begitu saja. Kemudian, HambaAllah itu mengatakan, "Assalamu'alaikum, Ana RasuluLlah". SubhanaLlah, baginda Nabi rupanya. Nabi memakai jubah putih dan kain serban Nabi berwarna hijau di atas bahu baginda. Beliau nampak dgn jelas mata Baginda Nabi, janggut Baginda, rambut Baginda, kain serban di atas bahu Baginda dan tubuh Baginda. Kemudian Nabi katakan "Enti fil masjidi" , -'sekarang enti(kamu) berada di masjidku, Masjid Nabawi'-. Allahuakbar.
Kemudian Baginda Nabi SallaLahu'alaihiwas allam berkata: QalAllahuta' ala; "InnaAllahama' assobirin" , - sungguhnya Allah bersama orang-orang yg sabar'. Ketika mendengar suara Nabi mengalunkan KalamuLlah, terasa bergema suara merdu Nabi di seluruh 'alam. SememangNya Baginda sebaik-baik kejadian dan di ciptakan dgn penuh kesempurnaan. Nabi katakan (in lughatul 'arabiyah, tp kami terjemahkan) , "Ya Syamimi, dengan berkat kesabaran enti, dgn sakit yg enti tanggung selama ini, dan dgn berkat Al-Quran yg enti pelihara di dlm hati enti, maka Allah bukakan hijab utk enti nampak ana" . Ketika Nabi sebut Ya Syamimi, terlintas di hatinya 'Ya Allah, Baginda kenal ummat Baginda'. Ya RasuluLlah.. . Waktu tu, di rasakan baiknya Allah, memberikan nikmat yg begitu besar buat dirinya.
Kemudian Nabi katakan, "Sampaikan salamku buat sahabat-sahabat seperjuangan Islam, insyaAllah, kita semua akan berjumpa nanti" . Lepas tu Nabi kita lafazkan, "Ummati.., ummati.., ummati..." , dan beliau nampak Nabi menangis dan beberapa titisan airmata Nabi yg suci mengalir utk ummat Baginda. Kemudian Baginda Nabi pergi. Beliau merintih, "Jgn pergi Ya RasuluLlah" , tp Baginda tetap pergi. Subhanallah, walaupun kita tak pernah bersua dgn Nabi
kita yg mulia, Baginda kenal kita dan sentiasa ingat akan ummat Baginda. Beliau katakan tak pasti, apakah baginda menangis kerana rindu kepada ummat baginda, atau mungkin saja baginda sedih dgn ummat akhir zaman ini atau...xtaulah, waLlahua'lam. ..
Sedar daripada tidur yg amat indah pengisiannya, beliau d kelilingi oleh kawan-kawan yg terdengar rintihan beliau dalam tidurnya "Jgn pergi Ya RasuluLlah.. ." . kemudian beliau pun menceritakan kpd para sahabat tentang mimpinya sekaligus menyampaikan salam RasuluLlah buat ummat Baginda, salam dari Nabi sallaLahu'alaihiwas allam. Semua menangis lantaran rindu pada Nabi. Rasa malu pada Nabi krn kita jarang-jarang ingat pada Baginda sedang kita amat terhutang budi pada baginda Nabi. Lebih-lebih lagi kita sedar bahawa syafaat Baginda yg akan kita kejar di akhirat kelak.
Ya Allah, waktu tu, takde kata yg lebih tinggi drpd kalimah AlhamduliLlah utk di rafa'kan pada Allah atas ni'mat yg begitu besar yg Allah berikan pada dirinya. Rasa tak layak dirinya menerima anugerah dgn ujian yg hanya sedikit berbanding insan-insan yg lebih berat di uji oleh Allah. Kiranya ada kalimah pujian yg lebih tinggi dr Hamdalah, pasti akan beliau sebutkan buat Allah Yang Maha Kaya. Semuanya terangkum dalam Rahmat-Nya yg melimpah ruah. Ketika itu rasa sakit masih menular d tubuhnya Cuma kali ini dia bertekad tidak akan menangis lagi utk kesakitan ini.
Kemudian usai solat Zuhur, rasa sakit yg beliau tanggung makin hebat. Tak pernah beliau merasakan sakit yg sebegitu rupa. Terasa panas seluruh badan dan seluruh tubuhnya rasa di tikam pada setiap penjuru tubuhnya. Kalau dulu, beliau akan menangis dalam menghadapi kesakitan, pada waktu itu beliau pujuk diri utk tidak menangis. 'Apa sangatlah sakit yg aku tanggung ni berbanding nikmat yg Allah dah bagi utk melihat Baginda Nabi SallaLlahu'alaihiwa sallam'.
Kemudian beliau tidur dan terus beliau rasakan berada d tempat tinggi, tempat yg biasa hadir sepanjang beliau menerima gangguan. Beliau katakan "Ya Allah, apa lagi yg nk Engkau bagi buat hambamu yg hina ni, rasa malu sangat dgn-Mu Ya Allah..." . kemudian dgn izin Allah, datang empat orang yg berpakaian serba hijau. Salah seorang daripadanya mengatakan, "Assalamu'alaikum Ya Syamimi, RasuluLlah SallaLahu'alaihiwas sallam sampaikan salam buatmu. Kami utusan RasuluLlah SAW. "Nahnu khulafa' ar-rasyidin" . Ana Abu Bakr, ini Ummar Al-Khattab, Uthman bin 'affan dan Ali ". SubhanaLlah, Saidina Abu Bakr memperkenal dirinya dan ketiga-tiga sahabatnya yg mulia.
Beliau nampak, Saidina Abu Bakr, amat lembut perwatakannya, Saidina Ummar dgn wajah ketegasan, Saidina Uthman memang cantik sekali dan Saidina 'Ali yg agak kecil orangnya.
Para Sahabat mengatakan "Kami di utuskan oleh baginda Nabi utk membantu enti." . kemudian keempat-empat sahabat nabi membacakan ayat 102 drpd surah Al-Baqarah yg bermaksud:
" Dan mereka mengikuti apa yg di baca oleh syaitan-syaitan pada masa kerajaan Sulaiman. Sulaiman itu tidak kafir tetapi syaitan-syaitan itulah yg kafir, mereka mengajarkan sihir pada manusia dan apa yg diturunkan pada 2 malaikat di negeri Babylon iaitu Harut dan Marut. Padahal keduanya tidak mengajarkan sesuatu kepada seseorang sebelum mengatakan ' sesungguhnya kami hanyalah cubaan (bagimu) sebab itu janganlah kafir'. Maka mereka mempelajari dari keduanya (malaikat itu)
apa yang (dapat) memisahkan antara seorang (suami) denagn isterinya. Mereka tidak akan dapat mencelakakan seseorang dgn sihirnya kecuali dengan izin Allah. Mereka mempelajari sesuatu yang mencelakakan, dan tidak memberi manfaat kepada mereka. Dan sungguh, mereka sudah tahu, barang siapa membeli (menggunakan sihir) itu, nescaya tidak akan mendapat keuntungan di akhirat. Dan sungguh, sangatlah buruk perbuatan mereka yang menjual dirinya dgn sihir, sekiranya mereka tahu".
Selesai membaca ayat itu, para sahabat Nabi menghembus pada makhluk-makhluk yang sedang mengganggu beliau dan mereka semua hancur terbakar. SubhanaLlah, waktu itu terasa seolah-olah tubuhnya yg sakit dahulu di tukarkan Allah dgn tubuh yg baru. Hilang segala kesakitan yg dah lebih setahun di tanggung beliau dgn sabar. Kemudian Saidina Abu Bakr mengatakan, "Inilah ganjaran besar dari Allah buat orang-orang yang sabar" . Kemudian, para sahabat Nabi yg mulia pun pergi.
Selesai mimpi indah yg kedua ini, beliau bangun dr tidur dan terus bangun duduk. Kawan-kawan sebilik pelik, kenapa beliau dapat bangun utk duduk dgn mudah . Kemudian sahabat-sahabat sebilik menyuruh beliau bangun berdiri dan AlhamduliLlah dgn mudah beliau bangun berdiri dan berjalan d sekitar bilik. "Ya Allah, penyakit ana dah sembuh" . Semua sahabat yang ada di situ bergembira dan menangis. Kemudian beliau segera ke bilik air untuk berwudhu'. Dengan tubuh yang 'baru', beliau sujud syukur pada Allah Subhanahuata' ala. "Ya Allah, kiranya di beri tempoh sujud 100 tahun pun belum dapat menjadi hamba-mu yg bersyukur atas ni'mat yang Engkau berikan" .
Beliau katakan pada kami, "Adik-adik, wajarlah para sahabat Nabi yang mulia sanggup mati demi mempertahankan Nabi. Akak yang di beri rezeki melihat Nabi tak sampai pun 5 minit dah rasa tak sanggup berpisah dengan Nabi. Kalau boleh, nak duduk je di bilik untuk beribadah pada Allah dan mengenang wajah Nabi yg mulia. Tp menyedari banyak lagi taklifan dan tanggungjawab kita di atas muka bumi Allah ni, maka hidup mesti di teruskan. Sekarang ni hati akak tenang sangat.. Kalau boleh, nak je akak pinjamkan hati ni walau hanya sesaat agar adik-adik dapat merasakan betapa beningnya hati ini. Tapi itu tak mungkin kan , mungkin ini bahagian akak, bahagian kalian? Hanya Pemiliknya Yg Maha Tahu. Akhir sekali akak ingin katakan; "tak rugi kita bersabar..."
10 March 2010
04 March 2010
Lawatan di Prasekolah SKS oleh Pelajar PSIMP IPGM Kampus Rajang
Read more: http://subagya.blogspot.com/2008/11/menampilkan-kode-htmljavascript-yang.html#ixzz0geeSp4nM
Under Creative Commons License: Attribution
27 February 2010
Maulidur Rasul 1431 H / 2010 M SKS
Read more: http://subagya.blogspot.com/2008/11/menampilkan-kode-htmljavascript-yang.html#ixzz0geeSp4nM
Under Creative Commons License: Attribution
24 February 2010
Sejarah Maulud Nabi
Bagi yang berpendapat baginda lahir pada Bulan Rabi’ul Awwal, mereka berbeza pendapat pula dalam menentukan haribulannya. Ada yang menentukan pada 8 haribulan, ada yang pada 9 haribulan, ada pula pada 12 haribulan seperti yang menjadi anggapan ramai, ada juga pada 17 haribulan dan seumpamanya. Di samping di sana ada pula sarjana Islam yang menyatakan baginda lahir pada Bulan Ramadan dengan hujah-hujah mereka yang tersendiri.
Apa pun yang penting, sejarahwan Timur atau Barat, Utara atau Selatan tidak pernah berbelah pendapat tentang lahirnya seorang insan bernama Muhammad bin ‘Abdillah yang diikrarkan oleh umat Islam sebagai rasul terakhir yang diutuskan Allah. Hal ini berbeza dengan Jesus yang berada dalam gambaran Barat. Setengah ahli kajian mereka mempertikaikan tentang kelahiran Jesus itu sendiri.
Kelahiran Nabi s.a.w adalah peristiwa yang amat penting kerana ia peristiwa yang memulakan episod baru bagi kehidupan manusia sejagat. Penentuan haribulan atau bulan secara tepat bukanlah faktor utama. Tidak dapat menentukan tarikh lahir yang pasti, bukan bererti seseorang itu tidak wujud. Entah berapa ramai para nabi, tokoh, individu yang gagal dikesan tarikh kelahiran mereka, tetapi mereka wujud dan telah mewarnai sejarah.
Kegagalan sarjana untuk mengetahui hari dan bulan sebenar kelahiran Nabi s.a.w antaranya berpunca daripada tindakan para sahabah Nabi s.a.w yang tidak merayakan tarikh tersebut. Walaupun dalam sejarah Islam, merekalah generasi yang paling mencintai Nabi s.a.w namun mereka tidak membuat perayaan khas hari kelahiran baginda disebabkan kerana mereka tidak melihat baginda melakukan hal yang demikian.
Bahkan Ibn Kathir menceritakan bagaimana Saidina ‘Umar apabila dicadangkan permulaan tahun Islam dikira pada tahun kelahiran Nabi s.a.w, beliau menolaknya. Sebaliknya khalifah agung itu memilih tahun hijrah baginda sebagai permulaan kiraan. Bukan kelahiran tidak penting, tetapi hijrah adalah permulaan kejayaan dan sejarah perjuangan. Perkara yang paling utama buat seorang rasul ialah baginda diikuti, bukan sekadar dirayakan. Saban tahun orang Kristian Barat merayakan kelahiran Jesus, namun apakah kehidupan mereka sama seperti yang diajar oleh Jesus?
Hari berganti dan bertukar. Dunia Islam beralun dengan berbagai krisis politik yang akhirnya mencetuskan mazhab. Antaranya Mazhab Syiah yang asalnya merupakan mazhab politik, bertukar menjadi mazhab agama dengan segala macam aliran di dalamnya. Islam sepatutnya mencorakkan politik telah bertukar menjadi ‘politik mencorakkan Islam’. Lalu kefahaman agama dibina di atas blok-blok politik, bukan reka fikir politik itu diwarnakan oleh Islam. Maka perebutan kuasa berlaku atas agenda politik yang dimasukkan unsur Islam ke dalamnya. Maka berselerakanlah umat Islam akibat agenda politik berbagai aliran.
Di Mesir, Syiah Fatimiyyah pernah menguasai tampok kuasa. Berbagai agenda agama dilaksanakan dalam kerangka pemikiran mazhab politik yang bertukar menjadi agama. Berbagai perayaan agama dibuat dengan tujuan untuk mencapai matlamat politik yang tersendiri.
Dalam Fatawa al-Azhar diakui bahawa ahli sejarahwan Islam tidak mengetahui sesiapa pun yang memulakan perayaan Maulid Nabi s.a.w melainkan Kerajaan Syi’ah Fatimiyyah di Mesir yang mengadakannya secara besar-besaran. Mereka turut meraikan hari kelahiran tokoh-tokoh Ahlil Bait dan kelahiran Nabi Isa a.s. Kemudian pada tahun 488H dihentikan oleh Khalifah mereka al-Musta’la billah. Kemudian dihidupkan kembali oleh sesetengah kerajaan dan negeri. Demikianlah sejarahnya.
Ya, saya fikir, perasaan bersyukur mengenangkan sejarah kelahiran Nabi s.a.w dengan semangat untuk mengikuti baginda adalah wajar. Di samping kita perlu sedar fakta-fakta yang disebutkan tadi. Jika Bulan Rabi’ul Awwal ini dikatakan bulan kelahiran Nabi s.a.w, maka tidak salah untuk kita berceramah menceritakan sejarah perjuangan dan prinsip-prinsip Islam yang dibawa oleh baginda. Sama ada pada bulan ini atau selain. Sama seperti apabila kita melintas suatu tempat bersejarah, kita mengenang sejarah tersebut. Cuma janganlah kita ini menjadi manusia bermusim yang hanya mengenang rasul dan ajaran baginda pada hari-hari tertentu, tetapi kita seakan sudah tidak mengingati baginda selepas itu.
Di samping itu, hendaklah kita sedar, jika kita mengikuti Nabi s.a.w, maka pastikan kita tidak menokok tambah ajaran baginda apa yang baginda tidak izinkan. Baginda bersabda:
“Sesiapa yang membuat perkara baru dalam urusan kami ini (Islam) apa yang bukan daripadanya maka ia tertolak” (Riwayat Muslim).
Oleh kerana baginda tidak pernah menunjukkan kita ibadah khas sempena kelahiran baginda samada solat khas, atau puasa khas atau bacaan khas, maka kita tidak boleh mengadakannya. Jalan yang patut diikuti dalam masalah ini adalah jalan para sahabah baginda s.a.w. Sabda baginda s.a.w:
“..Sesungguhnya Bani Israil berpecah kepada 72 puak, dan umatku akan berpecah kepada 73 puak. Kesemua mereka dalam neraka kecuali satu puak”. Mereka bertanya: “Apakah puak itu wahai RasululLah?” Jawab baginda: “Apa yang aku dan para sahabahku berada di atasnya”. (Riwayat al-Tirmizi dinilai sahih oleh al-Diya al-Maqdisi).
Perlu diingat, antara keistimewanya sejarah Nabi s.a.w kerana ia dapat dikenal pasti antara yang tulen dan tokok tambah. Ini berbeza dengan sejarah pengasas-pengasas agama dalam dunia ini yang hampir keseluruhan sejarah mereka dibina atas sangkaan atau perkhabaran yang tidak pasti. Ilmu hadis yang menapis sanad dan matan telah memelihara fakta sejarah nabi kita Muhammad s.a.w. Hanya sejarah yang pasti sahaja yang menjadi ikutan kita, bukan yang direka.
Kata al-Sayyid Sulaiman al-Nadwi:
“Sesungguhnya sirah yang berhak diikuti oleh manusia sebagai contoh yang baik dan teladan yang tinggi disyaratkan terlebih dahulu mestilah bersifat tarikhiyyah (sejarah). Adapun sirah yang tertegak diatas dongengan dan cerita-cerita khurafat yang tidak disokong oleh riwayat-riwayat yang dipercayai kesahihannya, adalah menjadi tabiat insan tidak akan terpengaruh dengan apa yag diceritakan kepadanya tentang sirah peribadi yang direka sedangkan sejarah tidak pernah mengenalinya” (Sulaiman al-Nadwi, al-Risalah al-Muhammadiyyah, m.s. 41, Saudi: al-Dar al-Sa`udiyyah).
Buku Maulid al-Barzanji yang banyak dibaca dalam masyarakat kita ketika majlis kenduri-kendara atau selainnya mempunyai sumbangan yang tersendiri. Banyak sirah yang sahih dicatatkan oleh penulis karya tersebut iaitu Ja’far bin Hasan bin `Abd al-Karim al-Barzanji (meninggal 1187H). Namun satu hakikat yang diboleh dinafikan dari segi ilmu hadis bahawa terdapat fakta-fakta yang tidak sahih dalam buku al-Barzanji tersebut. Antaranya, beliau menyebut:
“Telah hadirlah pada malam kelahiran baginda (Nabi s.a.w.) Asiah (isteri Fir`aun yang beriman) dan Maryam (ibu Nabi Isa a.s.) dalam kumpulan wanita dari syurga)”.
Tiada satu riwayat yang sahih daripada Nabi s.a.w yang mengakui peristiwa seperti ini. Sehingga seorang pengkaji sejarah Muhammad Muhammad Hasan Syurrab menyebut:
“Wajib kita berhati-hati ketika memetik dari buku-buku sirah terutamanya buku-buku sirah yang terkemudian. Para rawinya (periwayat) banyak menokok tambah cerita dan sirah Rasulullah. Mereka mengaitkan kepada baginda mu’jizat dan perkara-perkara luar biasa sejak kelahiran sehingga kepada kewafatan baginda dengan perkara yang tidak ada sanad yang boleh dipegang. Seakan-akan para rawi ini melihat tujuan penambahan perkara-perkara luar biasa ini untuk memberikan kepada Rasul a.s. mu’jizat-mu’jizat yang tidak ada pada para nabi sebelum baginda (Muhammad Muhammad Hasan Syurrab, Fi Usul Tarikh al-`Arab al-Islami, m.s. 84, Damsyik, Dar al-Qalam).
Kita semua bersyukur dan bergembira dengan kelahiran Nabi Muhammad s.a.w. Namun kita wajib pastikan cara kita ikut dan faham mengenai baginda. Saban tahun banyak pihak yang meraikan maulid, apakah umat Islam bertambah dekat dengan baginda......petikan dari DR ASRI
18 February 2010
SAMBUT HARI VALENTINE'S HARAM BAGI UMAT ISLAM
“Panel Kajian Aqidah (PKA) dan Panel Kajian Syariah (PKS) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) memutuskan bahawa amalan menyambut Hari Valentine adalah haram dan bertentangan dengan ajaran Islam,” Persidangan Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan ke-71 pada 22 November 2005 juga memutuskan bahawa amalan merayakan valentine’s Day tidak pernah dianjurkan oleh Islam.“Roh perayaan itu mempunyai unsur-unsur agama lain dan amalannya yang bercampur dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dan dilarang oleh Islam,”
Tarikh 14hb Februari merupakan hari yang dianggap keramat oleh pasangan-pasangan yang sedang berkasih. Hari yang dikenali sebagai Valentine’s Day atau Hari Memperingati Kekasih dianggap sebagai satu masa untuk mengisytiharkan ketulusan cinta kepada pasangan masing-masing. Maka pada 14hb Februari pasangan-pasangan kekasih ini akan memakai pakaian-pakaian yang terbaik dan sebaiknya hendaklah ia berwarna merah atau pink, bertukar-tukar hadiah dan seeloknya adalah bunga ros berwarna merah. Pasangan-pasangan kekasih ini juga akan bercanda di merata-rata tempat sehingga terjadilah adengan-adengan maksiat yang bertentangan dengan syarak demi untuk membuktikan kasih dan sayang mereka yang tidak ternilai harganya. Saban tahun juga para ulamak mengingatkan kepada umat Islam agar menghindari menyambut Hari Valentine ini namun ianya seperti menuang air ke daun keladi.
SEJARAH SAMBUTAN HARI VALENTINE
Bila kita membicarakan tentang sejarah sambutan hari Valentine maka kita akan dapati bahawa terdapat 4 pendapat berkaitan dengannya.
1 Pendapat pertama mengaitkannya dengan pesta sambutan kaum Rom kuno sebelum kedatangan agama Kristian yang dinamakan Lupercalia. Lupercalia merupakan upacara penyucian diri yang berlangsung dari 13hb hingga 18hb Februari. Dua hari pertama mereka menyembah dewi cinta bagi kaum Rom kuno yang bernama Juno Februata. Pada hari ini para pemuda Rom memilih nama-nama gadis-gadis yang menjadi pilihan mereka lalu dimasukkan ke dalam sebuah kotak. Setiap pemuda tersebut kemudiannya akan mencabut nama tersebut dari dalam kotak itu secara rawak. Nama gadis yang tertera di dalam kertas tersebut akan menjadi pasangan yang akan menjadi objek hiburan seksnya selama setahun. Pada 15 Februari, mereka meminta perlindungan dewa Lupercalia dari gangguan serigala. Pada hari ini mereka akan menyembelih seekor anjing dan kambing. Kemudian mereka akan memilih 2 pemuda Rom yang dianggap paling gagah untuk menyapukan darah binatang tersebut ke badan mereka lalu mencucinya pula dengan susu. Setelah itu akan di adakan perarakan besar-besaran yang diketuai 2 pemuda tersebut dan mereka berdua akan memukul orang ramai yang berada di laluan mereka dengan kulit binatang dan para wanita akan berebut-rebut untuk menerima pukulan tersebut kerana mereka beranggapan ianya akan menambahkan kesuburan mereka.
2. Pendapat kedua mengaitkannya dengan kematian paderi St. Valentine ketika pemerintahan Raja Rom yang bernama Claudius II. Terdapat 2 versi cerita berkaitan dengan St. Valentine ini.
Versi pertama. Pada masa pemerintahan Claudius II, kerajaan Rom yang menyembah dewa-dewi amat memusuhi penganut agama Kristian dan para mubaligh Kristian telah dipenjara serta disiksa. St. Valentine sebagai seorang yang tegar menganut agama Kristian dan aktif menyebarkan ajaran tersebut turut dipenjarakan oleh Cladius II. Dikhabarkan St. Valentine walaupun dipenjarakan, beliau tetap mengajar dan menyebarkan agama tersebut di kalangan banduan-banduan penjara di samping membantu tawanan-tawanan penjara meloloskan diri dari penjara. Kegiatan ini telah diketahui oleh Cladius II dan beliau memerintahkan St. Valentine diseksa dan akhirnya dihukum bunuh pada 14 Februari. Pengorban yang dilakukan oleh St Valentine ini dianggap oleh penganut Kristian sebagai satu pengorbanan yang besar demi kecintaan beliau terhadap agamanya. Malah St. Valentine disamakan dengan Jesus yang dianggap oleh penganut Kristian mati kerana menebus dosa yang dilakukan oleh kaumnya. Dikatakan juga bahawa ketika di dalam penjara, beliau telah jatuh cinta dengan anak salah seorang pegawai penjara dan di akhir hayatnya sebelum dibunuh, beliau sempat menulis sepucuk surat cinta kepada gadis tersebut yang bertandatangan ‘From your Valentine’ (Daripada Valentinemu). Maka orang-orang Kristian mengambil sempena 14 Februari itu untuk meraikan hari kasih sayang demi memperingati hari kematian paderi mereka St. Valentine.
Versi kedua. Claudius II beranggapan bahawa anggota tentera yang muda dan masih bujang adalah lebih tabah dan kuat ketika berada di medan peperangan berbanding dengan mereka yang telah berkahwin. Justeru itu Cladius II menghalang para pemuda dari berkahwin. Namun demikian St.Valentine menentangnya dengan keras dan beliau telah melakukan upacara pernikahan terhadap para pemuda-pemuda Rom secara sulit. Aktiviti St. Valentine ini akhirnya dapat diketahui oleh Cladius II lalu beliau mengarahkan St. Valentine ditangkap dan dihukum gantung pada 14 Februari 269 M.
3. Pendapat ketiga. Ia dirayakan sempena kejatuhan Kerajaan Islam Andalusia di Sepanyol. St. Valentine merupakan individu yang telah memainkan peranan penting dalam usaha menjatuhkan kerajaan Islam pada masa itu. Disebabkan sumbangan beliau itu, St. Valentine dianggap sebagai kekasih rakyat. 14 Februari 1492 merupakan tarikh kejatuhan Islam di Sepanyol dan dianggap pada hari itu hari kasih sayang kerana mereka menganggap Islam adalah agama yang zalim.
4. Pendapat keempat. menyatakan sambutan hari Valentine ini bersempena dengan sifat burung yang musim mengawan burung yang jatuh pada 14hb Februari. Ini merupakan pendapat tradisi orang Inggeris.
Disini kita dapat melihat dengan jelas bahawa asal-usul sambutan Hari Valentine ini tidak ada hubung-kaitnya dengan budaya serta agama bagi umat Islam.
Hukum Menyambut Hari Valentine
Sebagaimana yang telah termaktub di dalam al-Qur’an dan al-Sunnah dan disepakati oleh generasi awal umat Islam hari kebesaran bagi umat Islam yang mana disyariatkan bagi kita menyambutnya hanyalah Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha. Ini sebagaimana yang firman Allah S.W.T.:
Bagi tiap-tiap umat, Kami adakan satu syariat yang tertentu untuk mereka ikuti dan jalankan, maka janganlah ahli-ahli syariat yang lain membantahmu dalam urusan syariatmu; dan serulah (wahai Muhammad) umat manusia kepada agama Tuhanmu, kerana sesungguhnya engkau adalah berada di atas jalan yang lurus. – al-Hajj : 67
Anas bin Malik r.a berkata: Nabi s.a.w pernah datang ke Madinah sedangkan penduduknya memiliki dua hari raya. Pada kedua-duanya mereka bermain-main (bergembira) di masa jahiliah. Lalu baginda bersabda: “Sesungguhnya Allah telah menggantikan kedua-duanya bagi kamu semua dengan dua hari yang lebih baik, iaitu hari raya Aidiladha dan Aidilfitri.” - Hadis riwayat al-Nasaai, no: 959.
Oleh itu hendaklah umat Islam hanya membataskan diri dengan menyambut hari-hari perayaan yang diiktiraf oleh Allah dan Rasul-Nya khusus untuk umat Islam. Setelah berakhir zaman salafussoleh iaitu 3 kurun terbaik bagi umat Islam, pelbagai hari perayaan telah ditambah ke dalam kalendar umat Islam seperti Mawlid al-Rasul, Israk Mikraj, Maal Hijrah, Nuzul al-Qur’an dan lain-lain lagi. Sabdanya: Barangsiapa menyerupai satu kaum, maka dia termasuk golongan mereka. - Hadis riwayat Imam Abu Dawud, hadis no: 3512.
Tambahan pula sambutan Hari Valentine ini merupakan satu upacara yang berhubung-kait dengan agama Rom Kuno dan juga Kristian sebagaimana yang telah dipaparkan sebelum ini. Sambutan Hari Valentine ini turut diikuti dengan perbuatan-perbuatan yang bertentangan dengan syarak seperti pergaulan bebas diantara lelaki dan perempuan, membuang masa dengan berpeleseran ke tempat-tempat yang tak tentu hala malah mencurigakan dan membazir wang dengan memberi hadiah yang mahal-mahal. Tentang hukum menyambut Hari Valentine, Syaikh al-‘Utsaimin berkata: “Maka bila dalam merayakan Hari Valentine tersebut bermaksud untuk mengenangkan kembali St. Valentine, maka tidak diragukan bahawa orang itu telah kafir. Dan jika tidak bermaksud begitu namun sekadar ikut-ikutan kepada orang lain, maka orang itu telah melaksanakan dosa besar.”
Tidak dapat dinafikan pergaulan bebas ketika sambutan Hari Valentine ini membuka pintu perzinaan sedangkan Allah s.w.t. memerintahkan kita untuk menutup segala ruang yang boleh menyebabkan terjadinya perzinaan. Firman-Nya: Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan). – al-Israa’ : 32
Sebagaimana yang telah dilaporkan dalam akhbar Utusan Malaysia pada 10 Februari 2007, Pengasas Pusat Kebahagiaan Wanita dan Remaja (Kewaja), Yahaya Mohamed Yusof telah menegaskan bahawa kes remaja hamil anak luar nikah meningkat pada akhir Februari dan awal Mac. Beliau berkata: “Sebahagian besar remaja yang ditempatkan di Kewaja mengadu mereka lupa diri ketika menyambut Hari Memperingati Kekasih atau Valentine’s Day. Mereka keluar berpasangan dan berpesta sehingga larut malam, kemudian mengambil pil khayal hingga tidak sedar terlanjur lalu hamil.”
Allah S.W.T.. Firman-Nya: Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut agama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka): "Sesungguhnya petunjuk Allah (agama Islam itulah petunjuk yang benar)". –Al-Baqarah (2) : 120
Oleh itu mereka mempopularkan sambutan Hari Valentine ini di negara-negara Islam dan menampakkan sambutannya sebagai satu perkara yang begitu romantis serta indah bagi pasangan-pasangan yang ingin membuktikan perasaan cinta mereka. Inilah sebenarnya sikap syaitan yang sentiasa berusaha untuk menyadur perbuatan maksiat agar kelihatan seperti satu perkara yang baik dan diamalkan oleh manusia tanpa rasa berdosa. Firman-Nya Iblis berkata: " Wahai Tuhanku! Kerana Engkau telah menjadikan daku sesat, (maka) demi sesungguhnya aku akan memperelokkan segala jenis maksiat kepada Adam dan zuriatnya di dunia ini, dan aku akan menyesatkan mereka semuanya Kecuali di antara zuriat-zuriat Adam itu hamba-hambaMu yang dibersihkan dari sebarang syirik". – al-Hijr (15) : 39-40
10 PERKARA PENGHALANG DOA
12 February 2010
RENUNGAN MUTIARA
Imam Ghazali bertanya lagi: “Apa yang paling jauh dari kita di dunia ini? Masing-masing menjawab, bulan, bintang dan matahari. Imam Ghazali membenar semua jawapan itu lalu berkata: yang paling tepat ialah masa lalu. Dengan apapun kemudahan kita, manusia tidak boleh kembali kepada masa lalu. Sebab itu kita perlu menjaga dengan teliti hari ini, esok dan akan datang dengan perbuatan yang dituntut agama Islam.”
Menyoal lagi Imam Ghazali : “Apa yang paling besar di dunia ini?” Pelbagai jawapan yang munasabah diterima daripada anak muridnya dan ia membenarkannya, namun berkata, jawapan paling tepat ialah hawa nafsu (Surah Al A’raf: 179). Maka kita harus hati-hati dengan nafsu kita, jangan sampai nafsu kita membawa ke neraka.”
Imam Ghazali bertanya lagi: “Apa yang paling berat di dunia ini?” Anak muridnya menjawab dan Imam Ghazali mengiyakan, namun berkata: “Perkara yang paling berat di dunia ialah memegang amanah (Surah Al-Azab : 72). Tumbuh-tumbuhan, gunung, dan malaikat semua tidak mampu ketika Allah SWT meminta mereka menjadi khalifah pemimpin di dunia ini. Tetapi manusia dengan sombongnya berebut-rebut menyanggupi permintaan Allah SWT sehingga banyak manusia masuk ke neraka kerana gagal memegang amanah.
Imam Ghazali bertanya: “Apakah perkara yang paling ringan di dunia ini?” Beliau menerima jawapan dan berkata: “Semua jawapan kamu itu benar, tetapi yang paling ringan sekali di dunia ini adalah meninggalkan solat. Gara-gara pekerjaan kita atau urusan dunia, kita tinggalkan solat.”
Imam Ghazali bertanya, “Apa yang paling tajam sekali di dunia ini?” Murid-Murid dengan serentak menjawab: “Pedang”. Imam Ghazali membenarkan jawapan itu, namun berkata: “Paling tajam ialah lidah manusia kerana melalui lidah, manusia dengan mudahnya menyakiti hati dan melukakan perasaan orang lain
11 February 2010
SIRI MOTIVASI (WISDOM WORDS)
Kegagalan dalam kemuliaan lebih baik daripada kejayaan dalam kehinaan. Memberi sedikit dengan ikhlas pula lebih mulia dari memberi dengan banyak tapi diiringi dengan riak.
Hidup memerlukan pengorbananan. Pengorbanan memerlukan perjuangan. Perjuangan memerlukan ketabahan. Ketabahan memerlukan keyakinan. Keyakinan pula menentukan kejayaan. Kejayaan pula akan menentukan kebahagiaan.
Harta akan habis digunakan tanpa ilmu tetapi sebaliknya ilmu akan berkembang jika ianya digunakan.
Jadikan dirimu bagai pohon yang rendang di mana insan dapat berteduh. Jangan seperti pohon kering tempat sang pungguk melepas rindu dan hanya layak dibuat kayu api.
“Hiduplah seperti lilin menerangi orang lain, janganlah hidup seperti duri mencucuk diri dan menyakiti orang lain.”
Orang berjaya tidak pernah putus asa. Sebaliknya orang yang mudah putus asa ialah orang yang tidak akan berjaya.
Insan yang berilmu akan menganggap dirinya kurang ilmu, manakala orang bodoh akan menganggap dirinya orang yang sangat pandai.
Padi yang semakin berisi akan semakin menunduk, manusia yang berhemah tinggi ialah orang yang sentiasa merendahkan diri.
Orang yang cemerlang bukanlah kerana dia tidak pernah mengalami kegagalan tetapi disebabkan dia dapat berdiri lebih teguh selepas kegagalan.
Orang yang cantik tetapi tidak berakhlak bagaikan bunga yang berwarna tetapi berbau busuk.
10 February 2010
GURU DAN REALITI
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.”
(Usman Awang, 1979)
Demikianlah sebahagian daripada kata-kata puitis nukilan Datuk Dr. Usman Awang yang menggambarkan betapa pentingnya peranan guru sebagai pembina modal insan cemerlang sejak zaman berzaman. Jika dilihat pada perkataan guru ianya tidaklah sebegitu ”glamour” jika dibandingkan dengan perkataan lain seperti penolong pengarah, doktor, pengurus dan sebagainya.
Manakala persepsi masyarakat terhadap profesion perguruan pula membayangkan tentang ruang cuti yang banyak, masa kerja yang terhad, bidang tugas yang mudah serta hasil pulangan yang terjamin.
Mungkin inilah agaknya permohonan untuk menjadi guru berlipat kali ganda banyaknya setiap tahun termasuk mereka yang sudah mendapat kerja tetapi sanggup mengorbankan pekerjaan mereka walaupun sudah beroleh pendapatan yang agak lumayan.
Mereka menarik nafas lega apabila permohonan untuk mengikuti kursus perguruan diluluskan.
Biar apa sahaja persepsi orang terhadap profesion perguruan tetapi sebagai seorang guru tugas dan tanggungjawab adalah terletak kepada kemahiran mendidik anak-anak. Biar setinggi mana ijazah yang dimiliki tetapi jika seseorang guru tidak memiliki kemahiran yang sewajarnya maka perkataan seperti ”pengajaran cikgu membosankan” ”cikgu ajar tak seronok” akan keluar dari mulut murid-murid yang mungkin memberi gambaran bahawa pengajaran guru tersebut tidak berkualiti bukan hanya dari aspek isi pengajaran atau perancangan tetapi dari aspek strategi sistem penyampaian.
Bagi menangani masalah ini seseorang guru terutamanya bagi mereka yang baru dalam bidang profesion perguruan ini harus mempunyai beberapa kemahiran sebagai nilai tambah dalam proses wewujudkan pengajaran yang berkesan. Dick & Reiser, (1990) pernah mendefinisikan pengajaran berkesan iaitu selain daripada kemampuan menerapkan pengetahuan, kemahiran dan sikap, guru juga harus mampu mewujudkan keseronokan belajar di kalangan murid.
Di antara langkah yang mampu membentuk kemahiran strategi penyampaian dalam mewujudkan suasa pengajaran dan pembelajaran yang menyeronokkan ialah seperti berikut:
a. Mengenali & menjiwai ciri-ciri diri murid: Sebagai ibu atau bapa kepada murid-murid di sekolah, guru bukan sekadar mengenali nama sahaja tetapi harus menjiwai mereka. Ini bermaksud guru seharusnya memahami kehendak, tabiat, sikap, tingkahlaku yang merangkumi aspek kekuatan dan kelemahan muridnya mengikut tahap umur masing-masing. Proses ini seharusnya berlaku apabila seseorang guru itu mula melangkah ke bilik darjah pada hari pertama dan dilakukan secara santai melalui proses interaksi 2 hala.
b. Kreatif & inovatif: Memang mudah untuk mengajar iaitu hanya memerlukan sukatan pelajaran, rancangan pelajaran serta bahan pengajaran. Walau bagaimanpun adalah agak sukar untuk menyampaikan pengajaran agar ianya dapat difahami dan tidak menjemukan. Oleh itu guru harus kreatif dan inovatif dalam penyampaiannya. Seperti juga sebagai seorang pelakon guru harus bijak memainkan peranannya dalam pelbagai situasi untuk menarik minat murid ke arah penumpuan pembelajaran. Guru yang kreatif dapat mengintegrasikan pelbagai bahan, kaedah dan teknik dalam penyampaiannya. Penghasilan, penciptaan dan pengubahsuaian bahan serta corak pembelajaran menjadikan ianya lebih inovatif serta mampu melibatkan diri murid-murid dalam sesuatu aktiviti pembelajaran.
c. Kecindan: Seseorang guru tidak semestinya garang dan tidak pula terlalu lembut dengan murid-muridnya tetapi apa yang disukai oleh pelajar ialah guru yang mempunyai unsur kecindan dalam penyampaian. Unsur kecindan ialah kata-kata atau perlakuan yang berunsur jenaka yang tidak keterlaluan bertujuan untuk menimbulkan rasa seronok serta menghilangkan tekanan sewaktu berlakunya sesi pengajaran dan pembelajaran.
Seorang guru yang berkesan ialah mereka yang disegani dan dihormati oleh murid. Manakala prestasi guru yang cemerlang pula bukan hanya terletak kepada nama pangkat atau jawatan tetapi mereka yang mampu membuat penyampaian yang menarik, kreatif dan inovatif serta mampu memberi pemahaman sepenuhnya kepada murid dengan penuh bertanggungjawab
05 February 2010
INIKAH PENDIDIK?
Memalukan apabila seorang ustazah dan guru wanita di sebuah sekolah rendah di sini bergaduh sesama sendiri dengan disaksikan pelajar dan guru lain di sini, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi, ustazah berusia 40-an dan guru Matematik berusia 24 tahun dikatakan ‘bergusti’ selepas berlaku salah faham ketika berada di kantin sekolah. Difahamkan, guru muda terbabit terpaksa melarikan diri sambil dikejar sehingga ke padang sekolah sebelum ditampar dan bergelut dengan ustazah terbabit.
Sumber berkata, kejadian itu dipercayai berpunca daripada dendam ustazah berkenaan sejak setahun lalu selepas anaknya yang diajar guru terbabit dipukul dengan pembaris kerana melakukan kesalahan. Bagaimanapun katanya, tindakan guru itu menimbulkan perasaan tidak puas hati ustazah itu sehingga membawa kepada pergaduhan. “Guru muda itu dikatakan dikejar sehingga ke padang sekolah sebelum dia ditampar, dipukul dan bergelut dengan ustazah itu.
“Insiden itu berlaku beberapa minit dan dipercayai turut disaksikan pelajar yang sedang melakukan aktiviti luar sebelum beberapa guru lain berjaya mententeramkannya,” katanya di sini, semalam. Difahamkan, kejadian itu kali pertama berlaku di sekolah berkenaan, bagaimanapun kejadian itu boleh menimbulkan implikasi negatif kerana ia disaksikan pelajar. Susulan kejadian itu, guru Matematik itu kemudian membuat satu laporan polis kira-kira jam 10 pagi di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat berhubung kejadian itu.
Kedua-dua guru berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan, bagaimanapun difahamkan mereka sudah dipanggil pentadbir sekolah untuk mendapatkan penjelasan mengenai kejadian itu kerana ia mula menjadi buah mulut. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Mohamad Radzi Ishak ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan itu. “Saya difahamkan kedua-dua guru terbabit pernah berselisih faham sebelum berlaku kejadian ini. “Bagaimanapun ia dapat dikawal dan diselesaikan secara baik oleh pihak sekolah,” katanya.
28 January 2010
21 January 2010
Mesyuarat Kurikulum 1/2010
Pada 21hb januari telah diadakan satu mesyuarat pertama sessi 2010 di SKS iaitu mesyuarat kurikulum 1/2010.seramai lebih 40 semua staf yang menghadiri mesyuarat tersebut.antara perkara yang disentuh adalah berkaitan kurikulum sekolah,minit mesyuarat terakhir,dan byk aktiviti yang akan di rancangkan pada sesi 2010 ini.
07 January 2010
Selamat Tahun baru
Dalam agama Islam kita dituntut untuk berubah kearah hasanah dari segala aspek kehidupan..dari setiap saat ke saat yang lebih baik dan bermakna dan seterusnya paradigma kita, minda kita, kesedaran kita baik dari aspek sosial.ekonomi, politik, agama, sahsiah. Jadi bertepatan dengan tahun baru ini setiap insan harus memastikan kemenjadian diri adalah yang terbaik untuk siap siaga menyongsong alaf baru yang pasti menyediakan pelbagai kejutan material dan spiritual...
Dalam dunia pendidikan pula sewajarnya kita semua menanam azam menjadi seorang insan yang berperanan sebagai murabbi, mursyid, muallim dan muballigh, bukan sekadar menngais pagi makan pagi, kais petang makan petang dsalam ertikata bekerja hanya menanti imbuhan hujung bulan...konsep sedekah, ikhlas, amanah, jujur, fatonah dan tabligh harus dicerna, dihayati dan sayugianya diamalkan dengan saksama...SEMOGA TAHUN INI MILIK ANDA
19 November 2009
SEJARAH AIR ZAM ZAM
Air zamzam digunakan untuk minum dan wudhu dan boleh juga dijadikan sebagai penawar (jikalau diniatkan sedemikian) dan ia boleh mencerahkan pandangan jikalau dimasukkan ke dalam mata kerana airnya sangat hening dan bersih. Air zamzam dianggap air yang suci dan berkat. Penduduk di Makkah sentiasa berbuka puasa dengan air zamzam atau dengan buah kurma sebagai mengikut sunnah Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam. Hampir setiap orang yang menunaikan fardhu haji ke Makkah tidak lupa membawa pulang air zamzam, khususnya orang yang datang dari sebelah timur untuk diagihkan kepada kaum keluarga.
Dinamakan air itu sebagai zamzam kerana terlalu banyak air tersebut. Sebagaimana kita maklumi air itu sudah wujud pada zaman Nabi Isma‘il ‘alaihissalam sehinggalah sekarang. Betapa besarnya kekuasaan Allah Subhanahu wa Ta‘ala.
Sejarah Air Zamzam
Zamzam adalah sebuah perigi Nabi Isma‘il ‘alaihissalam. Menurut para ahli sejarah, kisah air zamzam itu bermula dari peristiwa yang dialami oleh Siti Hajar dan anaknya Isma‘il ‘alaihissalam. Mereka berdua ditinggalkan oleh suaminya Ibrahim ‘alaihissalam di suatu tempat yang sepi dan tandus. Di tempat itu tidak ada air untuk diminum, tidak ada makanan untuk dimakan dan tidak ada orang untuk meminta pertolongan. Setelah bekalan mereka habis, Isma‘il pun menangis kerana lapar dan dahaga. Melihat keadaan anaknya sedemikian, Siti Hajar pun pergi mencari air. Dia berjalan menuju ke Bukit Safa dan Marwah kira-kira lima ratus meter jarak antara kedua bukit tersebut, dengan harapan menemui kafilah pedagang yang membawa air. Setelah berulang-alik sebanyak tujuh kali antara dua bukit itu, namun Siti Hajar tidak menemui sesiapa pun. Berkata Ibnu ‘Abbas: “Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Maka itulah sa‘ie manusia (orang haji dan umrah) antara keduanya (Safa dan Marwah).” Apabila Siti Hajar naik ke Bukit Marwah, dia terdengar suatu suara lalu dia berkata di dalam hati: “Sesungguhnya aku mendengarmu, jika engkau dapat memberi pertolongan, maka tolonglah kami.” Tiba-tiba dia ternampak Malaikat di samping anaknya Isma‘il. Malaikat itu pun menggali tanah dengan tumit atau sayapnya sehingga terpancutlah air iaitu air zamzam.
Setelah beberapa tahun berlalu, Nabi Ibrahim ‘alaihissalam datang menemui mereka berdua. Pada waktu inilah, Baginda mendirikan rumah suci (Ka‘bah). Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
Tafsirnya: “Sesungguhnya rumah ibadat yang mula-mula dibina untuk manusia (beribadat kepada Tuhannya) ialah Baitullah yang di Makkah, yang berkat dan (dijadikan) petunjuk hidayat bagi umat manusia. Di situ ada tanda-tanda keterangan yang nyata (yang menunjukkan kemuliaannya, di antaranya ialah) Makam Nabi Ibrahim. Dan siapa yang masuk ke dalamnya aman tenteramlah dia. Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadah Haji dengan mengujungi Baitullah, iaitu sesiapa yang mampu dan berkuasa sampai kepadanya. Dan sesiapa yang kufur (ingkar akan kewajipan ibadah haji itu), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajatkan sesuatu pun) daripada sekalian makhluk.”
(Surah Ali ‘Imran: 96-97)
Ketika Makkah didiami oleh kaum Jurhum (kabilah daripada Syam) dengan kemajuan dan kemewahan hidup mereka sehingga tidak mengendahkan kehormatan Ka‘abah tersebut. Menurut ahli sejarah, kaum Jurhum memakan harta Ka‘abah dan melakukan perkara dosa besar sehinggalah perigi zamzam itu kering kontang dan lama kelamaan ia tertimbus dan tidak diketahui lagi kedudukannya.
Setelah pemerintahan daerah itu dipegang oleh Abdul Muthallib (nenek Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam). Suatu ketika beliau telah bermimpi mendapat petunjuk untuk menggali perigi zamzam itu, lalu dia mengarahkan orang lain untuk menggali perigi tersebut sehinggalah kedudukan perigi itu ditemui.
Hukum Meminum Air Zamzam
Para Fuqaha bersepakat bahawa sunat bagi orang-orang yang mengerjakan ibadah Haji dan Umrah minum air zamzam, kerana Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam minum air zamzam tersebut.
Berdasarkan nas asy-Syafi‘eyah, bahawa air zamzam itu sunat diminum dalam apa keadaan sekalipun. Hukum sunat itu tidak hanya khusus selepas mengerjakan tawaf, bahkan ia sunat diminum bagi setiap orang walaupun bukan pada waktu mengerjakan ibadah haji atau umrah. Disebutkan dalam hadis Jabir bin ‘Abdullah katanya:
Maksudnya: “Aku pernah mendengar Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Air zamzam itu diminum untuk keperluan apa saja.”
(Hadis riwayat Ibnu Majah)
Dalam erti kata yang lain, jika ia meminumnya dengan maksud menghilangkan rasa haus, maka Allah akan menghilangkan rasa hausnya, jika ia meminumnya untuk menghilangkan rasa lapar, maka Allah akan mengenyangkannya, dan jika ia meminumnya untuk menyembuhkan penyakit, maka Allah akan menyembuhkan penyakitnya.
Kelebihan Air Zamzam
Banyak kelebihan yang terdapat pada air zamzam itu, sebagaimana disebutkan di dalam hadis-hadis Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, antara kelebihan itu:
Ada keberkatan padanya, boleh mengenyangkan seperti makanan dan sebagai penawar penyakit. Disebutkan dalam hadis Abu Dzar Radhiallahu ‘anhu, bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda tentang air zamzam:
Maksudnya: “Sesungguhnya air zamzam itu penuh berkat, sesungguhnya ia makanan yang mengenyangkan.” Dan Abu Daud Ath-Thayalisi menambah dalam musnadnya: “Dan penyembuh penyakit.”
(Hadis riwayat Muslim)
Perihal air zamzam menjadi penawar penyakit itu, banyak disebut mengenainya, antaranya:
Maksudnya: “Daripada Abu Jamrah Adh-Dhuba‘ie katanya: “Aku duduk bersama Ibnu ‘Abbas di Makkah, lalu aku terkena demam panas. Berkata Ibnu ‘Abbas: “Dinginkanlah panasmu itu dengan air zamzam, sesungguhnya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Demam panas itu daripada bahang neraka jahannam, maka dinginkanlah ia dengan air, (atau sabda Baginda: “Dengan air zamzam” , si Hammam syak).
(Hadis riwayat Al-Bukhari)
Kisah seorang perempuan Maghribi yang disembuhkan Allah Subhanahu wa Ta‘ala daripada penyakit kanser dengan meminum air zamzam. Di mana doktor menyatakan, bahawa dia tidak ada harapan untuk hidup dalam masa tiga bulan. Perempuan itu pun pergi menunaikan umrah, beri‘tikaf di Masjidil Haram, minum air zamzam sepuas-puasnya dan menghabiskan masanya dengan bersembahyang, membaca al-Qur’an dan berdoa. Setelah beberapa hari bintik-bintik merah yang tumbuh di badannya sudah tiada lagi, lalu dia menemui doktor dengan menerima keputusan bahawa penyakitnya sudah sembuh.
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dibersihkan dadanya dengan air zamzam bagi menguatkan Baginda melihat Malakut langit dan bumi, syurga dan neraka. Dengan ini, ada keistimewaan dalam air zamzam itu iaitu menguatkan hati dan menghilangkan ketakutan. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: “Dibukalah atap rumahku ketika aku berada di Makkah. Lalu turun Jibril membelah dadaku, kemudian dicucinya dengan air zamzam. Setelah itu dia (Jibril) membawa mangkuk besar dari emas yang penuh dengan hikmat dan keimanan, lalu ditumpahkannya ke dalam dadaku kemudian ditutupnya kembali dadaku. Setelah itu dia menarik tanganku lalu membawaku naik ke langit dunia (dimi‘irajkan).”







