19 November 2009

SEJARAH AIR ZAM ZAM

Zamzam ialah nama sebuah telaga yang terletak di tengah-tengah Masjidil Haram yang dahulunya bersebelahan dengan makam Hambali, tetapi sekarang ini makam ini tiada lagi dan tidak jauh dari bangunan Kaabah di Makkah kira-kira tiga puluh lapan hasta letaknya daripada Kaabah Musyarrafah atau lebih tepat lagi bersetentang dengan Hajarul Aswad yang terletak di bahagian penjuru tenggara Kaabah. Telaga ini sangat dalam dan besar walaupun kelihatan kecil di permukaannya. Buktinya ialah airnya tidak pernah kering walaupun ramai dan setiap masa orang menggunakannya. Telaga ini berdindingkan simen dan berbumbungkan marmar yang bertatah indah dan berwarna-warni, tingginya 1.5 meter dan luasnya kira-kira tiga meter.

Air zamzam digunakan untuk minum dan wudhu dan boleh juga dijadikan sebagai penawar (jikalau diniatkan sedemikian) dan ia boleh mencerahkan pandangan jikalau dimasukkan ke dalam mata kerana airnya sangat hening dan bersih. Air zamzam dianggap air yang suci dan berkat. Penduduk di Makkah sentiasa berbuka puasa dengan air zamzam atau dengan buah kurma sebagai mengikut sunnah Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam. Hampir setiap orang yang menunaikan fardhu haji ke Makkah tidak lupa membawa pulang air zamzam, khususnya orang yang datang dari sebelah timur untuk diagihkan kepada kaum keluarga.

Dinamakan air itu sebagai zamzam kerana terlalu banyak air tersebut. Sebagaimana kita maklumi air itu sudah wujud pada zaman Nabi Isma‘il ‘alaihissalam sehinggalah sekarang. Betapa besarnya kekuasaan Allah Subhanahu wa Ta‘ala.

Sejarah Air Zamzam

Zamzam adalah sebuah perigi Nabi Isma‘il ‘alaihissalam. Menurut para ahli sejarah, kisah air zamzam itu bermula dari peristiwa yang dialami oleh Siti Hajar dan anaknya Isma‘il ‘alaihissalam. Mereka berdua ditinggalkan oleh suaminya Ibrahim ‘alaihissalam di suatu tempat yang sepi dan tandus. Di tempat itu tidak ada air untuk diminum, tidak ada makanan untuk dimakan dan tidak ada orang untuk meminta pertolongan. Setelah bekalan mereka habis, Isma‘il pun menangis kerana lapar dan dahaga. Melihat keadaan anaknya sedemikian, Siti Hajar pun pergi mencari air. Dia berjalan menuju ke Bukit Safa dan Marwah kira-kira lima ratus meter jarak antara kedua bukit tersebut, dengan harapan menemui kafilah pedagang yang membawa air. Setelah berulang-alik sebanyak tujuh kali antara dua bukit itu, namun Siti Hajar tidak menemui sesiapa pun. Berkata Ibnu ‘Abbas: “Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Maka itulah sa‘ie manusia (orang haji dan umrah) antara keduanya (Safa dan Marwah).” Apabila Siti Hajar naik ke Bukit Marwah, dia terdengar suatu suara lalu dia berkata di dalam hati: “Sesungguhnya aku mendengarmu, jika engkau dapat memberi pertolongan, maka tolonglah kami.” Tiba-tiba dia ternampak Malaikat di samping anaknya Isma‘il. Malaikat itu pun menggali tanah dengan tumit atau sayapnya sehingga terpancutlah air iaitu air zamzam.

Setelah beberapa tahun berlalu, Nabi Ibrahim ‘alaihissalam datang menemui mereka berdua. Pada waktu inilah, Baginda mendirikan rumah suci (Ka‘bah). Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

Tafsirnya: “Sesungguhnya rumah ibadat yang mula-mula dibina untuk manusia (beribadat kepada Tuhannya) ialah Baitullah yang di Makkah, yang berkat dan (dijadikan) petunjuk hidayat bagi umat manusia. Di situ ada tanda-tanda keterangan yang nyata (yang menunjukkan kemuliaannya, di antaranya ialah) Makam Nabi Ibrahim. Dan siapa yang masuk ke dalamnya aman tenteramlah dia. Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadah Haji dengan mengujungi Baitullah, iaitu sesiapa yang mampu dan berkuasa sampai kepadanya. Dan sesiapa yang kufur (ingkar akan kewajipan ibadah haji itu), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajatkan sesuatu pun) daripada sekalian makhluk.”

(Surah Ali ‘Imran: 96-97)

Ketika Makkah didiami oleh kaum Jurhum (kabilah daripada Syam) dengan kemajuan dan kemewahan hidup mereka sehingga tidak mengendahkan kehormatan Ka‘abah tersebut. Menurut ahli sejarah, kaum Jurhum memakan harta Ka‘abah dan melakukan perkara dosa besar sehinggalah perigi zamzam itu kering kontang dan lama kelamaan ia tertimbus dan tidak diketahui lagi kedudukannya.

Setelah pemerintahan daerah itu dipegang oleh Abdul Muthallib (nenek Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam). Suatu ketika beliau telah bermimpi mendapat petunjuk untuk menggali perigi zamzam itu, lalu dia mengarahkan orang lain untuk menggali perigi tersebut sehinggalah kedudukan perigi itu ditemui.

Hukum Meminum Air Zamzam

Para Fuqaha bersepakat bahawa sunat bagi orang-orang yang mengerjakan ibadah Haji dan Umrah minum air zamzam, kerana Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam minum air zamzam tersebut.

Berdasarkan nas asy-Syafi‘eyah, bahawa air zamzam itu sunat diminum dalam apa keadaan sekalipun. Hukum sunat itu tidak hanya khusus selepas mengerjakan tawaf, bahkan ia sunat diminum bagi setiap orang walaupun bukan pada waktu mengerjakan ibadah haji atau umrah. Disebutkan dalam hadis Jabir bin ‘Abdullah katanya:

Maksudnya: “Aku pernah mendengar Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Air zamzam itu diminum untuk keperluan apa saja.”

(Hadis riwayat Ibnu Majah)

Dalam erti kata yang lain, jika ia meminumnya dengan maksud menghilangkan rasa haus, maka Allah akan menghilangkan rasa hausnya, jika ia meminumnya untuk menghilangkan rasa lapar, maka Allah akan mengenyangkannya, dan jika ia meminumnya untuk menyembuhkan penyakit, maka Allah akan menyembuhkan penyakitnya.

Kelebihan Air Zamzam

Banyak kelebihan yang terdapat pada air zamzam itu, sebagaimana disebutkan di dalam hadis-hadis Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, antara kelebihan itu:

Ada keberkatan padanya, boleh mengenyangkan seperti makanan dan sebagai penawar penyakit. Disebutkan dalam hadis Abu Dzar Radhiallahu ‘anhu, bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda tentang air zamzam:

Maksudnya: “Sesungguhnya air zamzam itu penuh berkat, sesungguhnya ia makanan yang mengenyangkan.” Dan Abu Daud Ath-Thayalisi menambah dalam musnadnya: “Dan penyembuh penyakit.”

(Hadis riwayat Muslim)

Perihal air zamzam menjadi penawar penyakit itu, banyak disebut mengenainya, antaranya:

Maksudnya: “Daripada Abu Jamrah Adh-Dhuba‘ie katanya: “Aku duduk bersama Ibnu ‘Abbas di Makkah, lalu aku terkena demam panas. Berkata Ibnu ‘Abbas: “Dinginkanlah panasmu itu dengan air zamzam, sesungguhnya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Demam panas itu daripada bahang neraka jahannam, maka dinginkanlah ia dengan air, (atau sabda Baginda: “Dengan air zamzam” , si Hammam syak).

(Hadis riwayat Al-Bukhari)

Kisah seorang perempuan Maghribi yang disembuhkan Allah Subhanahu wa Ta‘ala daripada penyakit kanser dengan meminum air zamzam. Di mana doktor menyatakan, bahawa dia tidak ada harapan untuk hidup dalam masa tiga bulan. Perempuan itu pun pergi menunaikan umrah, beri‘tikaf di Masjidil Haram, minum air zamzam sepuas-puasnya dan menghabiskan masanya dengan bersembahyang, membaca al-Qur’an dan berdoa. Setelah beberapa hari bintik-bintik merah yang tumbuh di badannya sudah tiada lagi, lalu dia menemui doktor dengan menerima keputusan bahawa penyakitnya sudah sembuh.

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dibersihkan dadanya dengan air zamzam bagi menguatkan Baginda melihat Malakut langit dan bumi, syurga dan neraka. Dengan ini, ada keistimewaan dalam air zamzam itu iaitu menguatkan hati dan menghilangkan ketakutan. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: “Dibukalah atap rumahku ketika aku berada di Makkah. Lalu turun Jibril membelah dadaku, kemudian dicucinya dengan air zamzam. Setelah itu dia (Jibril) membawa mangkuk besar dari emas yang penuh dengan hikmat dan keimanan, lalu ditumpahkannya ke dalam dadaku kemudian ditutupnya kembali dadaku. Setelah itu dia menarik tanganku lalu membawaku naik ke langit dunia (dimi‘irajkan).”

No comments: