10 February 2010

GURU DAN REALITI

JIKA hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.”
(Usman Awang, 1979)

Demikianlah sebahagian daripada kata-kata puitis nukilan Datuk Dr. Usman Awang yang menggambarkan betapa pentingnya peranan guru sebagai pembina modal insan cemerlang sejak zaman berzaman. Jika dilihat pada perkataan guru ianya tidaklah sebegitu ”glamour” jika dibandingkan dengan perkataan lain seperti penolong pengarah, doktor, pengurus dan sebagainya.
Manakala persepsi masyarakat terhadap profesion perguruan pula membayangkan tentang ruang cuti yang banyak, masa kerja yang terhad, bidang tugas yang mudah serta hasil pulangan yang terjamin.
Mungkin inilah agaknya permohonan untuk menjadi guru berlipat kali ganda banyaknya setiap tahun termasuk mereka yang sudah mendapat kerja tetapi sanggup mengorbankan pekerjaan mereka walaupun sudah beroleh pendapatan yang agak lumayan.
Mereka menarik nafas lega apabila permohonan untuk mengikuti kursus perguruan diluluskan.
Biar apa sahaja persepsi orang terhadap profesion perguruan tetapi sebagai seorang guru tugas dan tanggungjawab adalah terletak kepada kemahiran mendidik anak-anak. Biar setinggi mana ijazah yang dimiliki tetapi jika seseorang guru tidak memiliki kemahiran yang sewajarnya maka perkataan seperti ”pengajaran cikgu membosankan” ”cikgu ajar tak seronok” akan keluar dari mulut murid-murid yang mungkin memberi gambaran bahawa pengajaran guru tersebut tidak berkualiti bukan hanya dari aspek isi pengajaran atau perancangan tetapi dari aspek strategi sistem penyampaian.
Bagi menangani masalah ini seseorang guru terutamanya bagi mereka yang baru dalam bidang profesion perguruan ini harus mempunyai beberapa kemahiran sebagai nilai tambah dalam proses wewujudkan pengajaran yang berkesan. Dick & Reiser, (1990) pernah mendefinisikan pengajaran berkesan iaitu selain daripada kemampuan menerapkan pengetahuan, kemahiran dan sikap, guru juga harus mampu mewujudkan keseronokan belajar di kalangan murid.
Di antara langkah yang mampu membentuk kemahiran strategi penyampaian dalam mewujudkan suasa pengajaran dan pembelajaran yang menyeronokkan ialah seperti berikut:

a. Mengenali & menjiwai ciri-ciri diri murid: Sebagai ibu atau bapa kepada murid-murid di sekolah, guru bukan sekadar mengenali nama sahaja tetapi harus menjiwai mereka. Ini bermaksud guru seharusnya memahami kehendak, tabiat, sikap, tingkahlaku yang merangkumi aspek kekuatan dan kelemahan muridnya mengikut tahap umur masing-masing. Proses ini seharusnya berlaku apabila seseorang guru itu mula melangkah ke bilik darjah pada hari pertama dan dilakukan secara santai melalui proses interaksi 2 hala.

b. Kreatif & inovatif: Memang mudah untuk mengajar iaitu hanya memerlukan sukatan pelajaran, rancangan pelajaran serta bahan pengajaran. Walau bagaimanpun adalah agak sukar untuk menyampaikan pengajaran agar ianya dapat difahami dan tidak menjemukan. Oleh itu guru harus kreatif dan inovatif dalam penyampaiannya. Seperti juga sebagai seorang pelakon guru harus bijak memainkan peranannya dalam pelbagai situasi untuk menarik minat murid ke arah penumpuan pembelajaran. Guru yang kreatif dapat mengintegrasikan pelbagai bahan, kaedah dan teknik dalam penyampaiannya. Penghasilan, penciptaan dan pengubahsuaian bahan serta corak pembelajaran menjadikan ianya lebih inovatif serta mampu melibatkan diri murid-murid dalam sesuatu aktiviti pembelajaran.

c. Kecindan: Seseorang guru tidak semestinya garang dan tidak pula terlalu lembut dengan murid-muridnya tetapi apa yang disukai oleh pelajar ialah guru yang mempunyai unsur kecindan dalam penyampaian. Unsur kecindan ialah kata-kata atau perlakuan yang berunsur jenaka yang tidak keterlaluan bertujuan untuk menimbulkan rasa seronok serta menghilangkan tekanan sewaktu berlakunya sesi pengajaran dan pembelajaran.
Seorang guru yang berkesan ialah mereka yang disegani dan dihormati oleh murid. Manakala prestasi guru yang cemerlang pula bukan hanya terletak kepada nama pangkat atau jawatan tetapi mereka yang mampu membuat penyampaian yang menarik, kreatif dan inovatif serta mampu memberi pemahaman sepenuhnya kepada murid dengan penuh bertanggungjawab

No comments: